Minggu, 29 Juni 2014

Surah 56, Surah al-Waqi’ah (Hari Kiamat) : 96 ayat.










Sabda Nabi Muhammad S.A.W.

"Barangsiapa membaca Surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam, tiadalah akan menimpa kepadanya kefakiran atau kepapaan"

Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
56-1:  Apabila berlaku peristiwa yang besar.
56-2:  Berlakunya itu tidak dapat didustakan.
56-3:  Merendahkan dan meninggikan.
56-4:  Apabila bumi digoncangkan dengan sebenar goncangan.
56-5:  Dan dihancurkan gunung-gunung sehancur-hancurnya.
56-6:  Maka jadilah ia debu yang berterbangan.
56-7:  Dan kamu menjadi tiga golongan.
56-8:  Golongan kanan, siapakah golongan kanan itu?
56-9:  Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu?
56-10:  Dan orang yang paling dahulu, yang paling dahulu.
56-11:  Mereka itulah “muqarrabun” (orang yang didekatkan).
56-12:  Di dalam Syurga Na’im (kenikmatan). 
56-13:  Segolongan besar daripada orang yang terdahulu.
56-14:  Dan segolongan kecil daripada orang yang kemudian.
56-15:  Di atas bangku bertatahkan emas dan permata.
56-16:  Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan.
56-17:  Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap.
56-18:  Dengan cawan-cawan, dan cerek-cerek, dan piala-piala daripada air yang mengalir.
56-19:  Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk.
56-20:  Dan buah-buahan daripada apa yang mereka pilih.
56-21:  Dan daging burung daripada apa yang mereka inginkan.
56-22:  Dan bidadari bermata jelita.
56-23:  Laksana mutiara yang tersimpan baik.
56-24:  Sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan.
56-25:  Mereka tidak mendengar di dalamnya yang sia-sia, dan tidak yang menimbulkan dosa.
56-26:  Kecuali ucapan salam, salam.
56-27:  Dan golongan kanan, siapakah golongan kanan itu?
56-28:  Di antara pohon bidara yang tidak berduri.
56-29:  Dan pohon pisang yang bersusun-susun.
56-30:  Dan naungan yang terbentang luas.
56-31:  Dan air yang tercurah.
56-32:  Dan buah-buahan yang banyak.
56-33:  Yang tidak terputus dan tidak terlarang.
56-34:  Dan hamparan yang ditinggikan.
56-35:  Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan mereka (bidadari) dengan kejadian (istimewa).
56-36:  Dan Kami (Allah) jadikan mereka sentiasa perawan.
56-37:  Penuh kasih sayang lagi sebaya.
56-38:  Untuk golongan kanan.
56-39:  Segolongan besar daripada orang yang terdahulu.
56-40:  Dan segolongan besar pula daripada orang yang kemudian.
56-41:  Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu?
56-42:  Dalam angin panas dan air panas.
56-43:  Dan naungan daripada asap yang hitam.
56-44:  Tidak sejuk dan tidak menyenangkan.
56-45:  Sesungguhnya mereka sebelum itu dalam kemewahan.
56-46:  Dan mereka berterusan atas dosa yang besar.
56-47:  Dan mereka mengatakan: "Apakah apabila kami mati dan menjadi tanah dan tulang, apakah sesungguhnya kami benar-benar akan dibangkitkan?”
56-48:  “Atau apakah bapa-bapa kami yang terdahulu?"
56-49:  Katakanlah: "Sesungguhnya orang yang terdahulu dan orang yang terkemudian.”
56-50:  Sesungguhnya akan dikumpulkan di waktu hari yang termaklum (ditentukan).
56-51:  Kemudian sesungguhnya kamu wahai orang yang sesat lagi mendustakan.
56-52:  Pasti akan memakan daripada pohon zaqqum.
56-53:  Dan akan memenuhi perut kamu dengannya.
56-54:  Maka akan meminum air yang sangat panas.
56-55:  Maka akan meminum (seperti) minumnya unta.
56-56:  Itulah hidangan untuk mereka pada hari al-din (pembalasan).
56-57:  Kami (Allah) telah menciptakan kamu, maka mengapa kamu tidak membenarkan?
56-58:  Maka apakah kamu perhatikan nuthfah (air mani) yang kamu pancarkan.
56-59:  Adakah kamu yang menciptakannya, atau Kami (Allah) yang menciptakannya?
56-60:  Kami (Allah) menentukan kematian antara kamu, dan Kami (Allah) tidak dapat dikalahkan.
56-61:  Untuk menggantikan kamu dengan orang yang seperti kamu, dan menciptakan kamu dalam keadaan yang tidak kamu ketahui.
56-62:  Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui penciptaan yang pertama, maka mengapakah kamu tidak mengambil peringatan?
56-63:  Maka apakah kamu perhatikan apa yang kamu tanam?
56-64:  Adakah kamu yang menumbuhkannya atau Kami (Allah) yang menumbuhkannya?
56-65:  Kalau Kami (Allah) kehendaki, nescaya Kami (Allah) jadikannya kering, maka jadilah kamu tercengang-cengang.
56-66:  (Sambil berkata): "Sesungguhnya kami menanggung hutang.”
56-67:  “Bahkan kami tidak mendapat hasil apa-apa."
56-68:  Maka adakah kamu perhatikan air yang kamu minum?
56-69:  Adakah kamu yang menurunkannya dari awan atau Kami (Allah) yang menurunkan?
56-70:  Kalau Kami (Allah) kehendaki, nescaya Kami (Allah) jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?
56-71:  Maka adakah kamu perhatikan api yang kamu?
56-72:  Adakah kamu yang menumbuhkan kayu itu atau Kami (Allah) yang menjadikan?
56-73:  Kami (Allah) menjadikannya peringatan dan kesenangan bagi musafir.
56-74:  Maka bertasbihlah dengan nama Rab (Tuhan) engkau al-‘Adzim (Yang Maha Besar).
56-75:  Maka Aku (Allah) bersumpah dengan tempat peredaran bintang-bintang.
56-76:  Dan sesungguhnya ia itu kalau kamu mengetahui, adalah sumpah yang besar.
56-77:  Sesungguhnya ia adalah al-Qur’an mulia.
56-78:  Dalam kitab yang terpelihara.
56-79:  Tidak menyentuhnya kecuali orang yang disucikan.
56-80:  Diturunkan daripada Rab (Tuhan) sekalian alam. 
56-81:  Maka apakah dengan berita ini kamu memandang enteng?
56-82: Kamu menjadikan rezeki kamu dengan mendustakan itu?
56-83:  Maka mengapa tidak, tatkala sampai di kerongkong?
56-84:  Dan kamu ketika itu melihat?
56-85:  Dan Kami (Allah) lebih dekat kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat.
56-86:  Maka mengapa tidak, jika kamu tidak dikuasai?
56-87:  Kamu mengembalikannya jika kamu adalah orang yang benar?
56-88:  Maka adapun jika dia (orang yang mati) daripada muqarrabin (orang yang didekatkan).
56-89:  Maka kesenangan, dan kepuasan serta syurga Na’im (kenikmatan).
56-90:  Dan adapun jika dia daripada golongan kanan.
56-91:  Maka keselamatan bagi kamu yang daripada golongan kanan.
56-92:  Dan adapun jika dia daripada orang yang mendustakan lagi sesat.
56-93:  Maka hidangan air yang mendidih.
56-94:  Dan dimasukkan ke dalam Neraka Jahim.
56-95:  Sesungguhnya ini adalah suatu “haqqul-yaqin” (keyakinan yang sebenarnya).
56-96:  Maka bertasbihlah dengan nama Rab (Tuhan) engkau al-‘Adzim (Yang Maha Besar).
  
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”

Surah Al-Waqi’ah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqi’ah kerana di ambil dari lafal Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.

Di dalam surah Al-Waqi’ah terkandung beberapa khasiat, antara lain:

* Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.

* Bila di baca 14 kali setiap selesai solat Asar, maka orang yang membacanya itu akan memperoleh kekayaan yang berlimpah ruah.

* Jika di baca surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis (sekali duduk), insyaAllah di tunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.

* Supaya menjadi orang yang kaya sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 kali selepas solat subuh dan 3 kali selepas solat Isya’. InsyaAllah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan di jadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.

* Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki. Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat. Setiap selepas solat fardhu bacalah Surah Al-Waqi’ah ini sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya; pada malam Jumaat berikutnya itu, selepas solat Maghrib bacalah surah ini sebanyak 25 kali, selepas solat Isya’ bacalah surah ini sebanyak 125 kali diikuti dengan selawat keatas Nabi sebanyak 1000 kali. Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah. Kemudian amalkanlah surah ini sekali pada waktu pagi dan petang. Insya’Allah berhasil.

* Surah ini jika dibaca disisi mayat atau orang yang sedang nazak, insyaAllah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, InsyaAllah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca disisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.

Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya

* Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.

* Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.

* Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.

Insya’Allah, dengan mengamalkan seperti berikut, ia akan menjadi orang kaya.

Wasallam.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar